Innalillahiwainnailaihirojiun
Dunia keilmuan Nusantara baru-baru ini dikejutkan dengan kehilangan seorang tokoh yang menjadi permata besar serta menjadi sumber aspirasi kita semua iaitu Prof. Diraja Terpuji Syed Muhammad Naquib al-Attas di mana beliau telah kembali ke rahmatullah pada petang 18 Ramadan 1447H, tepat pada jam 6.47 petang. Kehilangan beliau sudah tentu menjadi satu kehilangan yang sangat besar buat kita semua. Dalam dunia akademik, beliau terkenal sebagai seorang tokoh yang tidak ternilai harganya.
Ramai di antara kita khususnya generasi muda tidak begitu mengenali beliau namun dalam kalangan tokoh sarjana dunia, nama Syed Muhammad Naquib al-Attas seringkali menjadi sebutan dan juga seringkali dikenali sebagai tokoh pemikir Islam yang paling berpengaruh di dunia khususnya zaman moden pada hari ini.
Kelebihan dan kekuatan pengetahuan beliau mencakupi pelbagai lapangan ilmu termasuklah ilmu falsafah, teologi, metafizik, ilmu tarikh (sejarah) sehinggalah ilmu kesusasteraan Melayu. Bukan hanya itu sahaja, beliau juga dikenali sebagai seorang pelopor kepada gagasan Islamisasi Ilmu di mana konsep tersebut cuba menjawab persoalan-persoalan tentang bagaimana umat Islam harus berhadapan dengan pelbagai ilmu moden yang diperkenalkan oleh Barat. Menariknya gagasan ini dihuraikan dan diterangkan secara mendalam dalam salah sebuah karya beliau yang terkenal yang berjudul "Islam and Secularism" yang diterbitkan pada tahun 1978.
Namun untuk memahami gagasan pemikiran beliau yang besar ini, eloklah untuk kita semua melihat perjalanan kehidupan beliau terlebih dahulu.
Siapakah Syed Muhammad Naquib al-Attas?
Syed Muhammad Naquib al-Attas dilahirkan pada tanggal 5 September 1931 di Bogor, kepulauan Jawa, Indonesia. Beliau merupakan anak kedua daripada tiga orang adik-beradik.
Keluarga beliau juga mempunyai beberapa orang atau individu yang sangat hebat dalam bidang masing-masing. Antaranya ialah abang sulung beliau sendiri iaitu Allahyarham Syed Hussein al-Attas yang merupakan seorang tokoh akademik yang sangat popular dengan ilmu sosiologi dan merupakan pengasas parti Gerakan Rakyat Malaysia atau GERAKAN.
Paling menarik sekali mengenai keluarga Syed Muhammad Naquib al-Attas ini ialah mereka juga berasal daripada keturunan cucu Rasulullah SAW menerusi jalur Sayyidina Husin bin Ali RA. Malah, moyang beliau sendiri terkenal sebagai seorang ulama besar Nusantara pada abad ke-17 iaitu Syeikh Nuruddin ar-Raniry. Syed Muhammad Naquib juga merupakan sepupu kepada seorang tokoh ekonomi negara kita yang terkenal iaitu Allahyarham Prof. Diraja Ungku Aziz.
Dengan latar belakang keluarga beliau ini, sudah terang lagi bersuluh, tidak hairan mengapa benih cintakan ilmu pengetahuan itu diwarisi dan sudah lama menjadi darah daging beliau.
Pendidikan Syed Muhammad Naquib al-Attas
Dari sudut latar belakang pendidikan pula, Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Dasar Ngee Heng yang terletak di Johor Bahru. Setelah itu, beliau kembali ke kampung halamannya iaitu Pulau Jawa bagi melanjutkan pelajarannya dalam bidang keagamaan di Madrasah al-Urwatu al-Wuthqa.
Setelah itu, beliau kembali semula ke bumi Johor bagi melanjutkan pendidikan menengah di sebuah sekolah aliran Inggeris iaitu Sekolah Inggeris Bukit Zahrah dan kemudiannya di Maktab Sultan Abu Bakar dari tahun 1946 hingga tahun 1951.
Setelah berjaya menamatkan pendidikan menengah, beliau menyertai dunia ketenteraan dengan menyertai pasukan Rejimen Askar Melayu dengan menjadi pegawai kadet. Malah, beliau juga dihantar untuk mendapatkan latihan ketenteraan di Eaton Hall, Chester, England dan akhirnya meneruskan latihan di Akademi Ketenteraan Sandhurst, England antara tahun 1952 hingga tahun 1955.
Kalau kita lihat semua proses pendidikan yang dilalui oleh Syed Naquib al-Attas ini, maka kita sebenarnya mendapat satu mesej yang jelas iaitu proses keilmuan dan pendidikan yang dilalui oleh beliau ini akhirnya menjadi batu asas yang kukuh terhadap pembentukan karakter dan kekuatan beliau dalam bidang akademik.
Lembaran baharu
Ketika proses pembelajaran Syed Muhammad Naquib al-Attas di bumi England, beliau mula mendalami corak pemikiran dunia Barat dan cuba untuk menyelami bagaimana pandangan sarwa masyarakat Eropah itu dibentuk pada waktu itu. Menariknya pada masa yang sama, beliau juga tertarik dengan ilmu metafizik terutamanya ilmu tasawuf (ilmu berkaitan hati) dan mula mendalami beberapa buah karya tasawuf Islam yang terkenal seperti karya Maulana Nuruddin Abdul Rahman al-Jami.
Bukan hanya itu sahaja, Syed Muhammad Naquib juga sempat melakukan beberapa siri pengembaraan ke beberapa buah negara seperti Sepanyol dan Afrika Utara. Hasil daripada pengembaraan inilah yang membuka suatu lembaran baharu dalam kehidupan beliau di mana ia mempengaruhi cara beliau melihat sejarah, ketamadunan serta pertembungan budaya yang berbeza-beza. Dan secara tidak langsung, ia telah membentuk rasa cinta yang kuat terhadap ilmu pengetahuan dalam diri beliau.
Sekembalinya ke Tanah Melayu, Syed Naquib al-Attas pernah berkhidmat sebagai pegawai Rejimen Askar Melayu namun tidak lama selepas itu, beliau melepaskan jawatan tersebut secara sukarela dan mula memberikan tumpuan yang serius terhadap dunia ilmu. Beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya, Singapura antara tahun 1957 hingga tahun 1959.
Sekali lagi, lembaran baharu dibentuk iaitu semasa beliau berada di universiti, Syed Muhammad Naquib berjaya menghasilkan karya sastera beliau yang pertama iaitu Rangkaian Ruba'iyat. Bukan hanya itu sahaja, pada masa yang sama, Syed Naquib juga berjaya menulis sebuah buku akademik yang berjudul " Some Aspects of Sufism as Understood and Practised Among The Malays."
Rangkaian Ruba'iyat karya Syed Muhammad Naquib al-Attas
Sumber gambar: Balai Ilham
Dua karya awal ini bukan hanya menjadi bukti kepada permulaan lembaran baharu beliau semata-mata tetapi ia juga membuka pintu besar kepada dunia akademik antarabangsa.
Jasa dan sumbangan Syed Muhammad Naquib al-Attas
Kalau kita bicarakan tentang jasa dan sumbangan yang dicurahkan oleh tokoh permata intelektual ini, sangat banyak untuk kita bicarakan satu demi satu. Walaupun demikian, sebenarnya sumbangan dan jasa beliau tersebut merupakan satu bukti yang jelas bahawa dunia akademik sedang mengalami suatu evolusi yang sangat pesat.
Antara jasa yang dicurahkan oleh beliau sepanjang hayat ialah penubuhan Institut Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu (IBKKM) pada tahun 1973. Penubuhan IBKKM ini sebenarnya merupakan salah satu gagasan yang diperjuangkan oleh beliau ketika berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Kesenian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu gagasan agar kajian tentang bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu digabungkan sekaligus demi mewujudkan suatu pemahaman yang kukuh terhadap ketamadunan Melayu. Bukan hanya itu sahaja, beliau juga sangat konsisten dalam memperjuangkan agar bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa ilmu di universiti.
Selain itu, Syed Muhammad Naquib juga sangat konsisten dan lantang dalam memperjuangkan gagasan Islamisasi Ilmu. Salah satu sebab mengapa beliau sangat konsisten dalam perjuangan ini adalah kerana lahirnya kebimbangan Syed Muhammad Naquib sendiri terhadap sistem pendidikan moden yang dipengaruhi oleh elemen-elemen Barat. Bahkan menurut beliau, ilmu dan akademik pada hari ini bukanlah suatu ilmu yang neutral sepenuhnya, sebaliknya ia menjadi satu ilmu yang dibentuk oleh acuan Barat.
Hasil daripada kebimbangan beliau inilah, wujudnya sebuah pusat perbincangan tentang masa hadapan pendidikan Islam iaitu Pusat Pemikiran Islam dan Ketamadunan Antarbangsa (ISTAC) pada tahun 1987.
Pusat Pemikiran Islam dan Ketamadunan Antarbangsa (ISTAC)
Sumber gambar: Internet
Kalau kita lihat dan telusuri sumbangan demi sumbangan yang dicurahkan oleh beliau, ia adalah salah satu bukti yang jelas bahawa Syed Muhammad Naquib al-Attas merupakan seorang tokoh permata intelektualisme tanah air dan tidak hairan mengapa beliau terus menjadi salah satu sumber rujukan utama masyarakat pada hari ini dalam usaha untuk memahami ilmu pengetahuan.
Anugerah dan pengiktirafan
Sumbangan dan jasa yang dicurahkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas juga membuatkan beliau mendapat sejumlah besar anugerah dan pengiktirafan daripada pelbagai pihak.
Antara anugerah yang diterima oleh beliau ialah Anugerah Kursi Pemikiran Islam Abdul Hamid al-Ghazali di pusat ISTAC pada tahun 1993 di mana beliau dianugerahkan dengan anugerah tersebut oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkhidmat sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) pada waktu itu.
Bukan hanya itu sahaja, Syed Muhammad Naquib juga dilantik sebagai ahli Akademik Diraja Jordan oleh raja Jordan pada waktu itu iaitu Raja Hussein pada tahun 1994.
Dan setahun kemudian iaitu pada tahun 1995, Universiti Khartoum, Sudan menganugerahkan ijazah kehormat dalam bidang kesusasteraan kepada beliau sebagai tanda pengiktirafan terhadap beliau dalam bidang falsafah, pemikiran Islam serta ilmu kesusasteraan.
Pada tahun 2011, Malaysia telah mengiktiraf sumbangan dan jasa beliau dengan penganugerahan Pingat Setia Mahkota (PSM) kepada beliau.
Pengiktirafan tersebut tidak hanya berhenti di situ sahaja. Setahun kemudian iaitu pada tahun 2012, Syed Naquib al-Attas dianugerahkan dengan Anugerah Merdeka. Dan, baru-baru ini iaitu pada tahun 2024, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah berkenan untuk menganugerahkan gelaran Profesor Diraja kepada beliau sebagai tanda pengiktirafan tertinggi negara kita terhadap jasa dan usaha beliau dalam memartabatkan bidang ilmu.
Prof. Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas bersama Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Sumber gambar: Berita Harian
KESIMPULAN
Prof. Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas bukanlah seorang tokoh ilmuan Islam yang calang-calang. Semangat dan kekonsistenan beliau dalam memartabatkan ilmu dan akademik sewajarnya dijadikan sebagai satu sumber inspirasi dan motivasi buat kita semua khususnya generasi muda pada hari ini.
Walaupun gagasan Islamisasi ilmu yang diperkenalkan oleh beliau seringkali diperdebatkan dan kadangkala tidak difahami oleh masyarakat, namun Syed Muhammad Naquib al-Attas tidak pernah mengenal erti berhenti dan lelah dalam memperjuangkan gagasan tersebut.
Kini, tokoh yang hebat ini telah pergi meninggalkan kita semua. Namun hasil sumbangan dan jasa beliau terutamanya dari sudut karya-karya beliau masih menjadi sumber rujukan kita semua. Proses inilah tidak pernah memadamkan nama Syed Muhammad Naquib al-Attas daripada sanubari kita semua. Bak kata peribahasa Melayu, "Harimau mati meninggalkan belang, Manusia mati meninggalkan nama " di mana walaupun beliau tidak lagi bersama dengan kita, namun nama beliau dan sumbangan beliau tetap sebutan kita semua dan menjadi sumber motivasi dalam usaha untuk mendapatkan ilmu.
Semoga roh tokoh permata ilmu Nusantara ini dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh, aamiin Insya Allah.




Comments
Post a Comment