Skip to main content

DINASTI YUAN : BANGSA LUAR YANG PERNAH MEMERINTAH CHINA

DINASTI YUAN : BANGSA LUAR YANG PERNAH MEMERINTAH CHINA

Oleh Muhammad Victor Kueh Abdullah 


Apabila kita mempelajari tentang sejarah dan ketamadunan di China ini, sebenarnya tamadun China atau tamadun Hwang Ho yang kita pernah belajar di bangku sekolah merupakan tamadun yang agak tertua di dunia dan menyimpan pelbagai rekod sejarah lampau. Dalam rekod, ketamadunan China ini telah bermula sejak zaman San Huang Wu Di yang dipercayai bermula pada tahun 3200 sebelum masihi di mana terdapat 3 orang ketua yang dikenali sebagai Huang dan lima orang yang dikenali sebagai Di yang berperanan besar dalam usaha mewujudkan sebuah ketamadunan di China. Selepas zaman inilah, bermulanya siri dinasti demi dinasti bermula dengan dinasti Hsia atau Xia, kemudiannya dinasti Shang, dinasti Zhou, dinasti Qin, dinasti Han sehinggalah ke dinasti yang terakhir iaitu dinasti Qing atau Manchu. Dan selepas dinasti Qing inilah, sistem ketamadunan China telah lenyap menerusi revolusi 1912. Dalam kesemua siri dan urutan dinasti yang ada dalam ketamadunan China, terdapat satu dinasti yang agak berlainan dan menarik untuk dikongsikan di mana dinasti ini merupakan bangsa luar yang pernah memerintah China selama 89 tahun. Dinasti apakah itu, itulah dinasti Yuan. 

    Dinasti Yuan ini ialah salah sebuah dinasti diraja yang muncul selepas dinasti Song dan paling mendalam ialah dinasti Yuan ini muncul selepas zaman Dinasti Song dan Lima Kerajaan di China. Dinasti Yuan ini diasaskan pada tahun 1279 oleh Kublai Khan iaitu salah seorang pemimpin besar kaum Mongol setelah kejayaan mereka dalam pertempuran Yashan yang meletus pada bulan Mac 1279. Dinasti Yuan ini memerintah China selama 89 tahun bermula pada tahun 1279 hingga tahun 1368 dan menjadikan kota Beijing sebagai kota pemerintahan pusat mereka. Kejayaan mereka ini dalam menguasai dan mentadbir China telah mencatatkan rekod sejarah yang baharu bahawa bangsa luar iaitu bangsa Mongol melalui dinasti Yuan pernah memerintah tanah besar ini. 

Kublai Khan : Khan empayar Mongol dan Maharaja pertama dinasti Yuan

PENTADBIRAN DINASTI YUAN DI CHINA

Walaupun dinasti Yuan di China ini merupakan dinasti atau negara satelit bagi empayar Mongol di utara, namun dinasti ini mempunyai polisi-polisi pentadbirannya yang tersendiri. Sepanjang tempoh kekuasaannya, dinasti Yuan ini telah melancarkan dan meneruskan beberapa dasar dan polisi bagi memastikan pentadbiran mereka di China berjalan lancar. 

    Antaranya ialah mereka mengekalkan sistem pentadbiran yang sedia ada (dalam erti kata lain, mereka meneruskan tradisi sistem politik pentadbiran seperti dinasti-dinasti sebelum mereka). Dalam hal ini, bangsa Mongol meneruskan penggunaan sistem maharaja China sebagai teras pentadbiran mereka. Contohnya, Kublai Khan setelah berjaya menguasai China dan mendirikan dinasti Yuan, terus menggunakan sistem maharaja ini sebagai teras pentadbirannya. Bukan hanya itu sahaja, dinasti Yuan ini juga kekal menggunakan nama-nama era bagi setiap pemerintah dinasti ini seperti ketika era Kublai Khan, beliau menggunakan gelaran sebagai Maharaja Shizu. Begitu juga dengan pemerintah-pemerintah yang lain selepasnya. Selain itu, pemerintah dinasti Yuan ini juga melantik beberapa orang yang terdiri daripada golongan cendiakawan China untuk membantu melicinkan proses pentadbiran kerajaan dinasti Yuan. Antaranya ialah mereka melantik Liu Bingzhong dan Yao Shu sebagai penasihat pemerintah dinasti Yuan. Tujuannya adalah untuk memastikan sokongan masyarakat China yang sebahagian besarnya daripada kelompok Han terhadap kerajaan mereka serta mengukuhkan kekuasaan mereka pada waktu itu. 

    Bukan setakat dalam bidang politik sahaja, dinasti Yuan ini juga amat cemerlang dalam proses kebudayaan dan ekonomi mereka di China. Buktinya ialah majunya industri kesenian China, bidang kesusasteraan China yang berkembang dengan pesat, proses pembangunan beberapa buah monumen bersejarah dan infrastruktur asas seperti Terusan Besar China (yang dibina ketika zaman dinasti Sui) dan banyak lagi. Bahkan pada zaman dinasti Yuanlah, ramai cendiakawan dan para pedagang dari pelbagai negara seperti Eropah datang mengunjungi China. Salah seorangnya ialah Marco Polo dari Itali. 

Marco Polo

Secara keseluruhannya, dinasti Yuan walaupun dikenali sebagai dinasti bangsa luar yang pernah mentadbir dan menguasai China, namun mereka juga mewujudkan sejumlah besar sumbangan dan jasa mereka dalam pelbagai aspek terhadap ketamadunan China.

FAKTOR KEJATUHAN DINASTI YUAN

Dinasti Yuan China mulai melemah pada abad ke-14 apabila mereka mula memperkenalkan dasar yang agak keras dan bersifat diskriminasi terhadap kaum di China. Dalam dinasti Yuan ini, terdapat empat kelompok suku yang utama di China (mengikut sistem kasta dinasti Yuan) iaitu suku Mongol, Semu, Qitad dan Manzi. Suku Mongol merupakan suku utama yang menduduki tempat yang tertinggi dalam sistem kasta dinasti Yuan ini. 
    
    Manakala, suku Semu pula merujuk kepada masyarakat yang terkenal dengan mata yang berwarna di mana mereka ini kebanyakannya datang dari Asia Tengah (Uzbekistan, Tajikistan, Turkmenistan dan sebagainya), orang Arab dan Parsi. Dalam sistem kasta dinasti Yuan ini, golongan Semu ini menduduki tempat kedua dan kebanyakan mereka diberi peluang yang besar sebagai pentadbir kerajaan Yuan. 

    Suku Qitad pula merujuk kepada rakyat Jin yang pernah menjadi rakyat kerajaan Jurchen dan Han (zaman lima kerajaan) dan akhir sekali ialah suku Manzi. Suku Manzi atau suku orang gasar selatan (menurut bangsa Mongol) terdiri daripada kelompok masyarakat Han pada waktu itu. Suku Manzi ini agak lewat dijadikan sebagai rakyat kerajaan dinasti Yuan kerana sebelum ini, kerajaan dinasti Song Selatan (sisa-sisa keturunan dinasti Song) lewat dijajah oleh bangsa Mongol dan suku Han ini adalah rakyat kerajaan Song Selatan sebelum ini. Suku Qitad dan suku Manzi inilah yang menjadi kelompok yang terbesar di China berbanding suku Mongol dan Semu. 

    Dalam perkara ini, daripada empat suku utama dalam sistem sosial dinasti Yuan ini, suku Qitad dan Manzi inilah mendapat layanan yang paling buruk oleh kerajaan dinasti Yuan berbanding suku-suku yang lain. Bahkan dua suku ini walaupun merupakan suku majoriti di China, namun tidak mempunyai peluang yang baik dalam memperbaiki taraf hidup mereka. Kedua-dua suku ini juga diasingkan daripada suku Mongol dan Semu ketika menduduki peperiksaan awam China dan diberi syarat kelulusan yang lebih ketat. Kesemua keadaan ini telah membangkitkan kemarahan mereka kepada kerajaan Yuan pada waktu itu. 

    Dari sudut integriti pula, dinasti Yuan pada saat-saat akhir mereka mengalami pelbagai krisis integriti seperti salah guna kuasa, amalan rasuah yang berleluasa dalam kalangan pegawai kerajaan dan sebagainya. Dan ditambah pula dengan sikap maharaja dinasti Yuan yang agak berfoya-foya dengan kemewahan yang ada pada mereka. Keadaan inilah juga yang menjadi faktor kejatuhan dinasti Mongol ini. 

KEJATUHANNYA

Pada tahun 1330an, muncul sebuah gerakan pemberontak yang datang daripada suku Manzi dan Qitad ini iaitu gerakan tentera Agama Teratai Putih atau Bai Lian Jiao. Kumpulan ini diasaskan oleh Peng Yingyu iaitu seorang sami Buddha dan telah memulakan serangan terhadap dinasti Yuan. Namun serangan dan pemberontakan awal ini berjaya dipatahkan oleh kerajaan. Untuk pengetahuan, agama Teratai Putih ini adalah salah satu mazhab yang sesat dalam agama Buddha dan mereka percaya bahawa pada akhir zaman kelak, akan muncul satu orang yang menjadi raja dan penyelamat manusia daripada kejahatan iaitu Buddha Maitreya yang menjelmakan dirinya sebagai Ming Wang atau raja Ming. 

    Setelah beberapa tahun kemudian, seorang individu yang bernama Han Shantong telah dilantik sebagai pemimpin agama ini dan mula menyusun strategi untuk menjatuhkan dinasti Yuan ini. Ha Shantong juga mendakwa dirinya sebagai raja Ming atau raja keterangan sebagaimana yang dipercayai dalam kumpulan Teratai Putih tersebut. Kumpulan ini mendapat sambutan yang padu daripada kelompok Han (suku Manzi dan Qitad) dan mula bersatu hati untuk menentang kerajaan Yuan pada awalnya. Maka revolusi Serban Merah telah dilancarkan (dikenali sebagai revolusi serban merah kerana kelompok ini memakai serban berwarna merah sebagai tanda protes mereka terhadap dinasti Yuan). 

    Namun pada awalnya, mereka juga tidak berjaya menjatuhkan dinasti Yuan kerana sikap mereka yang tidak bersatu hati dan mempunyai visi masing-masing antara satu sama lain. Pendek cerita, wujudlah lima buah kerajaan sendiri yang didirikan oleh pemimpin-pemimpin utama kumpulan Teratai Putih ini seperti kerajaan Han, Song, Zhou, Xia, dan Wu. Keadaan yang berpecah-belah ini akhirnya diselesaikan oleh Zhu Yuanzhang iaitu pemimpin kerajaan Wu dan berjaya menyatukan antara satu sama lain. Keadaan ini telah menambahkan jumlah kekuatan mereka yang padu dalam menjatuhkan dinasti Yuan. 

    Akhirnya, pada tahun 1368, dinasti Yuan berjaya ditamatkan dan maharaja terakhirnya iaitu Toghod Temur (cicit Kublai Khan) telah melarikan dirinya ke negara asalnya iaitu Mongol dan mendirikan kerajaan Yuan Utara dari tahun 1368 hingga tahun 1388. Kerajaan Yuan Utara ini juga akhirnya jatuh disebabkan berlakunya perang saudara dan secara keseluruhannya, bangsa Mongol kembali ke fitrah asal mereka. Sejarah ketamadunan China ini kemudiannya diteruskan oleh dinasti Ming yang diasaskan oleh Zhu Yuanzhang (pemimpin Wu tadi) dari tahun 1368 hingga tahun 1644. 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, dinasti Yuan ini merupakan satu-satunya bangsa luar yang pernah memerintah China dalam sejarah ketamadunan mereka. Walaupun tempoh mereka berkuasa adalah sekejap iaitu selama 89 tahun namun mereka telah mencatatkan sejumlah besar jasa dan sumbangan mereka dalam pelbagai aspek terhadap sejarah dan ketamadunan China secara amnya. 

SUMBER 




Comments

Popular posts from this blog

TIPS-TIPS PENGUCAPAN AWAM YANG BAIK

  Gambar sekadar hiasan (Penulis terlibat dalam salah satu program di kampus lama pada tahun 2024) Sahabat-sahabat, Penulis yakin dan percaya bahawa kita semua pernah mendengar tentang istilah pengucapan awam dan sudah tentu kita semua pernah melakukannya dalam pelbagai perkara dan cara. Sebenarnya pengucapan awam ini adalah satu proses untuk kita memindahkan maklumat atau lebih mudah untuk kita fahami, ia adalah proses penyampaian maklumat kepada masyarakat atau audiens. Pengucapan awam ini bukan hanya boleh didapati dalam kaedah-kaedah biasa yang kita fahami seperti pidato, syarahan, ceramah dan sebagainya, bahkan pengucapan awam ini juga boleh didapati dalam proses pembentangan di mana kita semua berusaha untuk mempersembahkan sesuatu (biasanya hasil dapatan kita, produk, hasil kerja dan sebagainya) kepada khalayak ramai.  Dan penulis juga percaya bahawa ramai di antara kita pasti akan rasa gugup, gelisah, risau dan sebagainya apabila kita diberikan kepercayaan, amanah dan ...

BIODATA RINGKAS MUHD VICTOR KUEH ABDULLAH

BIODATA RINGKAS MUHD VICTOR KUEH ABDULLAH Muhammad Victor Kueh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Vic, Ameng, dan Muhammad merupakan seorang anak muda yang mempunyai semangat untuk mempelajari sesuatu ilmu baharu serta aktif dalam perkongsian ilmu terutamanya sejarah dan ketamadunan, perbandingan agama, perkongsian pendapat mengenai isu semasa dan dakwah. Berikut merupakan biodata ringkas mengenainya :  Biodata  Nama penuh : Muhammad Victor Kueh Abdullah @ Victor Kueh Jia Ming  Tarikh dan tempat kelahiran : 11 Oktober 2001, Hospital Sibu, Sarawak  Bangsa : Cina (suku Hokkien) + Melanau Sarawak  Tarikh memeluk Islam : 30 Disember 2015  PENDIDIKAN SJK Chong Boon, Mukah, Sarawak (2007 - 2011) SK Kampung Jebungan, Mukah, Sarawak (2012 - 2013) SMK Saint Patrick, Mukah, Sarawak (2014 - 2018) - SPM 2018 SMK Three Rivers, Mukah, Sarawak (2019 - 2020 + 2021) - STPM 2020 & MUET 2020 Diploma Pengajian Islam (Bahasa Arab dan Tamadun Islam), Universiti Islam Pahan...

KISAH PERJALANANKU DALAM MENGENALI ISLAM : SUATU PENGALAMAN HIJRAH

30 Disember 2015.............. Tarikh tersebut masih terngiang-ngiang segar dan masih diingati dengan baik dalam mindaku sehingga hari ini. Satu tarikh yang membawa suatu makna hidup yang sangat besar buat diriku. Tarikh di mana ia akan menjadi suatu titik tolak besar yang bakal mengubah diriku sepenuhnya.  Apakah makna besar dalam hidup menerusi tarikh tersebut? Itulah tarikh di mana diriku mula bergelar sebagai seorang Muslim. Nak tahu bagaimana diriku mula menjadi seorang Muslim pada hari ini? Mari, warkah ini akan menceritakan segalanya.  ERA SEBELUM ISLAM  Aku dilahirkan dan dibesarkan di sebuah kampung halaman yang terletak di Bumi Kenyalang (Sarawak). Aku membesar dalam sebuah keluarga yang boleh dikatakan sebagai keluarga yang hybrid (campuran) di mana mendiang ayahku merupakan seorang Cina suku Hokkien manakala ibuku pula berdarah kaum Bumiputera Sarawak iaitu Melanau Sarawak. Pendek kata, aku boleh dikatakan sebagai seorang yang mempunyai dua darah bangsa yang ...