Skip to main content

KOTA BAGHDAD : GEDUNG PERKEMBANGAN ILMU PENGETAHUAN


Apabila kita mempelajari tentang sejarah dan ketamadunan Islam tidak kira kita berada di mana sahaja sama ada kita berada di bangku sekolah, mahupun di dalam kuliah institusi pengajian tinggi, kita pasti akan pernah mendengar sebuah kota yang pernah menjadi sebuah gedung ilmu serta merupakan pusat tumpuan utama para ilmuwan dari seluruh dunia untuk mendapatkan ilmu-ilmu yang ada. Itulah kota Baghdad. 

    Terletak di negara Iraq moden pada hari ini, kota Baghdad merupakan sebuah kota yang pernah mencatatkan 1001 rekod sejarah lampau dalam pelbagai aspek. Bermula dengan zaman ketamadunan Parsi (3200 sebelum masihi - 640 masihi) sehinggalah pada hari ini, kota Baghdad telah menjadi saksi bisu kepada pelbagai peristiwa sejarah yang berlaku selama ini. Salah satu peristiwa atau fasa zaman dalam sejarah yang pernah disaksikan oleh kota ini ialah fasa Zaman Keemasan Islam atau Golden Age of Islamic Civilization di mana kota ini pernah dijadikan sebagai ibu kota sebuah kerajaan Islam yang terkenal iaitu kerajaan Bani Abbasiyah (750 - 1258 masihi). 

    Umumnya seperti yang kita semua sedia maklum bahawa kerajaan Bani Abbasiyah ini ketika pada zaman kegemilangannya, mereka sangat cemerlang dalam pelbagai bidang termasuklah politik, ekonomi, dan sosial. Dan salah satu cabang sosial yang pernah menjadi asbab kegemilangan mereka ialah bidang pendidikan dan keilmuwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kerajaan Bani Abbasiyah ini telah menjadikan aspek pendidikan sebagai paksi keutamaan mereka dan mereka memanfaatkan kota Baghdad ini sebagai pusat perkembangan keilmuwan dalam pelbagai bidang. 

    Buktinya ialah wujudnya sebuah institusi pendidikan dan perkembangan ilmu yang terkenal dalam sejarah iaitu institusi Baitulhikmah atau House of Wisdom di kota Baghdad. Baitulhikmah yang diasaskan oleh khalifah kerajaan Bani Abbasiyah iaitu Harun ar-Rasyid ini telah mencapai visi dan objektif mereka iaitu untuk menjadi perintis ilmu dan pengetahuan yang terkenal dalam sejarah. Baitulhikmah ini bukan hanya berfungsi sebagai Kutub Khannah (Perpustakaan) semata-mata bahkan ia juga berfungsi sebagai pusat perbincangan para ilmuwan dan ulama, pusat pembelajaran, dan juga pusat penterjemahan sejumlah besar karya yang datang dari zaman Yunani Kuno, Rom dan Parsi. Baitulhikmah ini bukan hanya berjaya menjadi tumpuan seluruh masyarakat dari seluruh dunia untuk mendapatkan secebis ilmu pengetahuan, bahkan ia juga telah menjadikan kota Baghdad sebagai sebuah gedung ilmu pengetahuan yang terkenal dalam sejarah. 

    Selain itu, peranan dan sokongan khalifah dalam pembangunan dan perkembangan ilmu pengetahuan juga menjadi salah satu faktor besar mengapa kota Baghdad ini terkenal sebagai sebuah gedung ilmu utama. Tidak dapat dinafikan dalam kalangan khalifah itu sendiri, ada beberapa orang khalifah Bani Abbasiyah yang terkenal sebagai seorang yang amat mementingkan ilmu pengetahuan dan mereka sanggup mengorbankan sejumlah dana yang besar untuk memajukan sektor pendidikan ini. Contohnya yang terdekat ialah Harun ar-Rasyid di mana baginda telah memulakan langkah pertama dengan mewujudkan Baitulhikmah sebagai pusat utama kegiatan ilmu. Bukan hanya itu sahaja, polisi ini juga telah diteruskan oleh khalifah-khalifah yang lain. Oleh yang demikian, tidak peliklah mengapa kota Baghdad terus menjuarai kedudukan sebagai sebuah gedung ilmu yang terkenal dalam sejarah. 

    Di samping itu, proses budaya keilmuwan dan penterjemahan yang agresif juga menjadi salah satu faktor besar mengapa kota ini menjadi pusat keilmuwan yang terkenal. Dalam sejarah zaman Keemasan Islam ini, banyak karya dalam pelbagai bidang dan lapangan ilmu telah dibawa masuk dan kesemua karya tersebut datang daripada zaman dan ketamadunan yang lain seperti Yunani, Rom, Parsi, China, India dan sebagainya. Dan para ilmuwan pada zaman tersebut di kota Baghdad telah membuka medan perbincangan ilmiah dan juga secara langsung ia telah membawa kepada proses penterjemahan karya-karya tersebut. Kebanyakan karya ini telah diterjemahkan dalam bahasa Arab untuk memudahkan pemahaman masyarakat dan akhirnya secara tidak langsung ia telah menjadikan mereka (Bangsa Arab) menjadi sebuah bangsa pencipta. Maka tidak hairanlah, hasil daripada proses perkembangan budaya ilmu dan penterjemahan inilah, kota Baghdad telah melahirkan sejumlah besar tokoh ilmuwan dalam pelbagai bidang seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Ibnu Rushd, Al-Khawarizmi dan ramai lagi. 

    Kesimpulannya, kota Baghdad sememangnya layak dikenali sebagai sebuah gedung perkembangan ilmu pengetahuan yang terkenal dalam sejarah dan ketamadunan Islam. Dengan adanya peranan pemerintah, ditambah pula dengan proses kebudayaan ilmu dan penterjemahan yang agresif dan adanya sebuah pusat keilmuwan yang terkenal telah menjadikan kota Baghdad ini terus menjadi tumpuan masyarakat dari seluruh dunia pada zaman tersebut. 

Comments

Popular posts from this blog

Kuasa dan rahsia membaca   Sahabat-sahabat, pernahkah kalian melihat beberapa video yang dihasilkan oleh ZRA (Zainal Rashid Ahmad), Ahmad Faezal dan ramai lagi? Sekiranya kita mengikuti siri-siri video yang dihasilkan oleh mereka, maka sudah pasti kita akan rasa terpukau dan rasa kagum dengan cara mereka membahaskan tentang sesuatu perkara atau isu. Bagaimana pula sekiranya saya dapat simpulkan di sini bahawa antara rahsia kehebatan mereka dalam mengupas sesuatu ilmu adalah kuasa membaca?  Sebenarnya kuasa membaca atau iqra' dalam bahasa Arab (yaqra - kata kerja yang membawa maksud membaca) adalah satu proses menajamkan dan melatih otak kita untuk mengintepretasikan sesuatu perkara dengan baik dan tersusun. Bahkan melalui proses membaca juga dapat menjadikan kita menjadi seorang yang hebat, hebat dari sudut apa? Hebat dari sudut di mana kita mampu membahaskan sesuatu perkara dan sesuatu isu dengan tersusun, kemas dan tepat. Kuasa dan peranan proses membaca ini sebenarnya menga...

DINASTI YUAN : BANGSA LUAR YANG PERNAH MEMERINTAH CHINA

DINASTI YUAN : BANGSA LUAR YANG PERNAH MEMERINTAH CHINA Oleh Muhammad Victor Kueh Abdullah  Apabila kita mempelajari tentang sejarah dan ketamadunan di China ini, sebenarnya tamadun China atau tamadun Hwang Ho yang kita pernah belajar di bangku sekolah merupakan tamadun yang agak tertua di dunia dan menyimpan pelbagai rekod sejarah lampau. Dalam rekod, ketamadunan China ini telah bermula sejak zaman San Huang Wu Di yang dipercayai bermula pada tahun 3200 sebelum masihi di mana terdapat 3 orang ketua yang dikenali sebagai Huang dan lima orang yang dikenali sebagai Di yang berperanan besar dalam usaha mewujudkan sebuah ketamadunan di China. Selepas zaman inilah, bermulanya siri dinasti demi dinasti bermula dengan dinasti Hsia atau Xia, kemudiannya dinasti Shang, dinasti Zhou, dinasti Qin, dinasti Han sehinggalah ke dinasti yang terakhir iaitu dinasti Qing atau Manchu. Dan selepas dinasti Qing inilah, sistem ketamadunan China telah lenyap menerusi revolusi 1912. Dalam kesemua siri dan...