Skip to main content

TANAKH : KITAB PEGANGAN UTAMA MASYARAKAT YAHUDI

 

Kitab Tanakh versi bahasa Inggeris (terbitan 1917)
Sumber : Platform Goodreads

Dalam ilmu perbandingan agama terutamanya apabila kita mengkaji tentang bab perbandingan agama Samawi sama ada Islam, Yahudi dan Kristian, kita pasti akan kenal atau familiar dengan nama-nama kitab tertentu yang menjadi pegangan asas dalam kepercayaan agama. Contohnya, Al-Quran sebagai panduan asas kepada umat Islam, begitu juga dengan Bible yang menjadi panduan kepada umat Kristian dan Tanakh sebagai panduan asas masyarakat Yahudi. Pasti tuan-tuan dan puan-puan akan tertanya-tanya, apakah itu Tanakh? Jaranglah saya dengar akan istilah ini, adakah Tanakh ini kitab dan sebagainya. Persoalan-persoalan itu pasti akan bermain dalam minda tuan-tuan dan puan-puan. Insya Allah, dalam penulisan saya kali ini, saya akan mengupas tentang Tanakh ini dengan bahasa mudah dan ringkas (untuk memudahkan pemahaman). 

APAKAH ITU TANAKH?

Tanakh ini boleh difahami dalam dua sudut iaitu : 
  • Tanakh ini adalah gabungan tiga perkataan yang berbeza iaitu Ta merujuk kepada Taurat, Na merujuk kepada Neviim dan Kh pula merujuk kepada Ketuvim. 
  • Tanakh ini adalah himpunan tiga buah kitab utama yang menjadi pegangan dan rujukan utama masyarakat Yahudi iaitu Taurat, Neviim dan Ketuvim. 
Sebenarnya, untuk memberi definisi mudah di sini ialah Tanakh ialah himpunan tiga buah komponen utama yang menjadi pegangan asas masyarakat Yahudi iaitu Taurat, Neviim dan Ketuvim. Ketiga-tiga perkataan inilah yang membentuk perkataan Tanakh di mana huruf awal diambil daripada ketiga-tiga komponen tadi. 

KOMPONEN TANAKH 

Seperti yang telah disebut pada perenggan awal tadi, Tanakh ini mempunyai tiga komponen yang berbeza dan utama. Setiap tiga komponen utama ini pasti ada pecahannya lagi. Ayuh, mari kita kenal satu demi satu komponen tersebut : 

TAURAT 

Taurat atau Torah (banyak istilah yang berlainan merujuk kepadanya seperti Pentateuch, Taurat lima dan Taurat Musa) ialah komponen pertama dalam Tanakh ini. Dalam bahasa pertuturan masyarakat Yahudi, Taurat bermaksud ajaran atau teachings (dari sudut bahasa) kerana dalam Taurat ini, terdapat banyak intipati yang berkait rapat dengan ajaran dan hukum-hakam utama dalam agama Yahudi. Terdapat lima komponen kecil yang utama di bawah Taurat ini iaitu : 
  •  Book of Genesis (Kitab Kejadian) 
  • Book of Exodus (Kitab Keluaran) 
  • Book of Leviticus (Kitab Imamat) 
  • Book of Numbers (Kitab Bilangan) 
  • Book of Deutronomy (Kitab Ulangan)

NEVIIM 

Neviim ialah komponen kedua selepas Taurat atau Torah. Neviim ini mudah untuk kita faham adalah merujuk kepada kisah para nabi dan rasul Bani Israel. Di bawah Neviim ini, ia dibahagikan kepada dua pecahan lagi dan setiap dua pecahan itu mempunyai pecahannya lagi iaitu : 

Neviim Rishonim

Merujuk kepada kisah nabi awal sehingga zaman pemerintahan raja Bani Israel di Palestin. Di bawah Neviim Rishonim ini, ada bab-babnya lagi iaitu :

  • Bab Nabi Joshua (Nabi Yusya') 
  • Bab Para Hakim (12 orang)
  • Bab Nabi Samuel
  • Bab raja-raja (ada 2 bahagian) 

Neviim Aharonim

Neviim Aharonim pula merujuk kepada kisah nabi yang kemudian sehingga kepada zaman nabi sebelum Nabi Isa as atau Jesus. Di bawahnya, ada bab-babnya tertentu seperti : 
  • Bab Nabi Yesaya (Isaiah)
  • Bab Nabi Yeremia (Jeremiah)
  • Bab Nabi Yehezkiel (Ezekiel) 
  • Bab Trei Asar atau 12 orang nabi kecil (Nabi Hosea, Nabi Amos, Nabi Obadiah, Nabi Yoel, Nabi Nahum, Nabi Micah, Nabi Yunus, Nabi Habakuk, Nabi Zephaniah, Nabi Haggai, Nabi Zakaria, Nabi Malachi)

KETUVIM

Ketuvim atau penulisan (dari sudut bahasa) adalah komponen ketiga di bawah Tanakh iaitu selepas Taurat dan Neviim. Ketuvim ini secara umumnya menceritakan tentang sejarah, kisah, dan lagenda Bani Israel. Ketuvim ini terbahagi kepada tiga komponen utama dan setiap tiga komponen itu mempunyai beberapa bahagiannya lagi iaitu : 

  • Wisdom atau Hikmah : Mempunyai tiga komponen utama di bawahnya iaitu Zabur (Mazmur), Amsal (Proverbs atau kata-kata hikmah Nabi Sulaiman as) dan Nabi Ayub as (Job) 
  • Megillot atau Lembaran : Terdapat lima komponen iaitu Kidung Agung (Songs of Solomon), Ruth, Ratapan (Lamentations), Para Pengkhutbah (Ecclesiastes), dan Eshter
  • Sejarah atau Histories : Terdapat empat komponen utamanya iaitu Book of Daniel, Book of Ezra, Book of Chronicles (Tawarikh) dan Book of Nehemiah (Nabi Nehemia)
Secara umumnya, dalam kitab Tanakh ini, terdapat 3 komponen utama yang mempunyai bahagiannya tersendiri. Kesemua tiga komponen utama dalam Tanakh inilah juga berfungsi sebagai rujuk utama penganut agama Yahudi dalam memahami agama mereka terutamanya apabila memahami hukum-hakam agama tersebut, kisah para nabi dan rasul Bani Israel dan sebagainya. 

Sumber : 

  • Ahmad Iqram Mohd Noor (2018), 50 Agama di Dunia : Antara Risalah Wahyu dan Akal, Petaling Jaya, Hijaz Records Publishing. 
  • Ghazali Basri (2022), Ilmu Perbandingan Agama : Suatu Pengenalan (edisi kemaskini), Kajang, Kolej Dar al-Hikmah. 
  • Laman web My Jewish Learning : Ketuvim (Writtings), Ketuvim (Writings) | My Jewish Learning (Diakses pada 22 Mei 2025)

Comments

Popular posts from this blog

TIPS-TIPS PENGUCAPAN AWAM YANG BAIK

  Gambar sekadar hiasan (Penulis terlibat dalam salah satu program di kampus lama pada tahun 2024) Sahabat-sahabat, Penulis yakin dan percaya bahawa kita semua pernah mendengar tentang istilah pengucapan awam dan sudah tentu kita semua pernah melakukannya dalam pelbagai perkara dan cara. Sebenarnya pengucapan awam ini adalah satu proses untuk kita memindahkan maklumat atau lebih mudah untuk kita fahami, ia adalah proses penyampaian maklumat kepada masyarakat atau audiens. Pengucapan awam ini bukan hanya boleh didapati dalam kaedah-kaedah biasa yang kita fahami seperti pidato, syarahan, ceramah dan sebagainya, bahkan pengucapan awam ini juga boleh didapati dalam proses pembentangan di mana kita semua berusaha untuk mempersembahkan sesuatu (biasanya hasil dapatan kita, produk, hasil kerja dan sebagainya) kepada khalayak ramai.  Dan penulis juga percaya bahawa ramai di antara kita pasti akan rasa gugup, gelisah, risau dan sebagainya apabila kita diberikan kepercayaan, amanah dan ...

BIODATA RINGKAS MUHD VICTOR KUEH ABDULLAH

BIODATA RINGKAS MUHD VICTOR KUEH ABDULLAH Muhammad Victor Kueh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Vic, Ameng, dan Muhammad merupakan seorang anak muda yang mempunyai semangat untuk mempelajari sesuatu ilmu baharu serta aktif dalam perkongsian ilmu terutamanya sejarah dan ketamadunan, perbandingan agama, perkongsian pendapat mengenai isu semasa dan dakwah. Berikut merupakan biodata ringkas mengenainya :  Biodata  Nama penuh : Muhammad Victor Kueh Abdullah @ Victor Kueh Jia Ming  Tarikh dan tempat kelahiran : 11 Oktober 2001, Hospital Sibu, Sarawak  Bangsa : Cina (suku Hokkien) + Melanau Sarawak  Tarikh memeluk Islam : 30 Disember 2015  PENDIDIKAN SJK Chong Boon, Mukah, Sarawak (2007 - 2011) SK Kampung Jebungan, Mukah, Sarawak (2012 - 2013) SMK Saint Patrick, Mukah, Sarawak (2014 - 2018) - SPM 2018 SMK Three Rivers, Mukah, Sarawak (2019 - 2020 + 2021) - STPM 2020 & MUET 2020 Diploma Pengajian Islam (Bahasa Arab dan Tamadun Islam), Universiti Islam Pahan...

KISAH PERJALANANKU DALAM MENGENALI ISLAM : SUATU PENGALAMAN HIJRAH

30 Disember 2015.............. Tarikh tersebut masih terngiang-ngiang segar dan masih diingati dengan baik dalam mindaku sehingga hari ini. Satu tarikh yang membawa suatu makna hidup yang sangat besar buat diriku. Tarikh di mana ia akan menjadi suatu titik tolak besar yang bakal mengubah diriku sepenuhnya.  Apakah makna besar dalam hidup menerusi tarikh tersebut? Itulah tarikh di mana diriku mula bergelar sebagai seorang Muslim. Nak tahu bagaimana diriku mula menjadi seorang Muslim pada hari ini? Mari, warkah ini akan menceritakan segalanya.  ERA SEBELUM ISLAM  Aku dilahirkan dan dibesarkan di sebuah kampung halaman yang terletak di Bumi Kenyalang (Sarawak). Aku membesar dalam sebuah keluarga yang boleh dikatakan sebagai keluarga yang hybrid (campuran) di mana mendiang ayahku merupakan seorang Cina suku Hokkien manakala ibuku pula berdarah kaum Bumiputera Sarawak iaitu Melanau Sarawak. Pendek kata, aku boleh dikatakan sebagai seorang yang mempunyai dua darah bangsa yang ...